Amar Makruf (berbuat kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah kemungkaran) merupakan perbuatan fardu atau wajib kifayah.
Jika telah ada sebilangan orang yang menjalankannya bagi sesuatu kawasan atau kariah, maka yang lain terlepas daripada tanggungjawab.
Jika semua orang meninggalkannya, maka berdosalah semua orang yang mampu melaksanakannya, kecuali yang uzur.
Ada ketikanya wajib kifayah menjadi wajib ain (diwajibkan bagi tiap-tiap individu). Misalnya, jika di suatu tempat yang tidak ada orang lain yang mengetahui kemungkaran itu selain dia, atau kemungkaran itu hanya boleh dicegah oleh diri sendiri, maka menjadi wajib ain ke atas dirinya untk melakukannya.
Misalnya seseorang yang melihat isteri, anak atau pembantu rumahnya melakukan kemungkaran atau kurang sempurna dalam melaksanakan kewajipan itu tertanggung ke atas dirinya.
Pengajaran
1. Yang dimaksudkan "mengubah dengan tangan" itu ialah jika ada kekuasaan, bukan mengubah dengan kekerasan yang boleh membawa kepada perkelahian, kekacauan, peperangan dan pertumpahan darah.
2. Jika tidak mampu diubah dengan kekuasaan atau kekuatan tidak dimiliki, ubahnya dengan lisan, kata-kata, dakwah dan tunjuk ajar.
3. Peringkat terakhir ialah mengubah dengan hati iaitu dengan cara:
- Tidak setuju dengan sepenuh hati perkara kemungkaran itu berlaku.
- Menentang dan membenci kemungkaran itu dengan hati.
Kitab: Huraian dan Inti sari padat dan ringkas, Hadis 40 Imam Nawawi.
Tajuk: Hadis 34, Mengubah Kemungkaran